21 · 10 · 2018
ALAM FLORA EDAR 500 BEG ‘ANTI-LITTER’ KIKIS SIKAP BUANG SAMPAH DARI KENDERAAN

Kuala Lumpur, 21 October 2018 – Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) mempergiatkan kempen ‘anti-litter’ kepada orang awam khususnya pengguna kenderaan bagi mengekalkan kelestarian alam sekitar serta mengubah minda masyarakat agar lebih bertanggungjawab terhadap kebersihan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Dato’ Mohd Zain Hassan, kempen tersebut adalah antara usaha berterusan Alam Flora ke arah menyedarkan masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan persekitaran. Tabiat membuang sampah merata-rata seperti dari kenderaan wajar dikikis segera kerana ianya boleh menyumbang kepada persekitaran yang tidak bersih terutamanya di persimpangan lampu isyarat, jalan-jalan utama serta tempat tumpuan umum.

Rakyat Malaysia didapati cenderung membuang sampah-sampah kecil seperti kertas tisu, pembungkus gula-gula, bekas minuman, plastik dan lain-lain dari dalam kenderaan tanpa memikirkan kesan negatif terhadap alam sekitar. Walaupun kecil, namun sikap gemar membuang sampah-sampah kecil (littering) ini merupakan antara penyumbang kepada jumlah sampah yang semakin meningkat terutama apabila kawasan pelupusan sampah yang semakin terhad.

“Kita sepatutnya menyimpan terlebih dahulu sampah dari dalam kenderaan dengan menggunakan beg seperti yang diedarkan oleh Alam Flora pada hari ini atau pun apa juga jenis beg, sehinggalah tiba ke destinasi, stesen minyak atau kawasan rehat dan rawat (R&R) untuk di buang ke dalam tong sampah,” tegas Mohd Zain.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perlepasan Peserta Alam Flora City Hunt dan pengedaran 500 beg ‘Anti-Litter’ kepada orang ramai bersempena Pelancaran Kempen ‘Anti-Litter oleh Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), YBhg. Dato’ Nor Hisham bin Ahmad Dahlan.

Perlumbaan ‘Alam Flora City Hunt’

Sementara itu, seramai 120 peserta tempatan daripada pelbagai lapisan peringkat umur masyarakat menyertai perlumbaan “Alam Flora City Hunt”, bermula dari Dataran DBKL 1 di Jalan Raja Laut dan sebahagian laluan “KL Car Free Morning”.

Peserta-peserta juga diberikan beg ‘Anti-Litter’ sebagai salah satu tugasan di dalam perlumbaan ini yang dianjurkan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan kitar semula demi persekitaran yang lebih bersih dan sihat di masa akan datang.

Peserta berpeluang memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM2, 000.00 beserta medal dan sijil bagi tempat pertama. Manakala bagi tempat kedua ialah wang tunai sebanyak RM1, 500.00 dan tempat ketiga wang tunai sebanyak RM1, 000.00 beserta medal dan sijil.

Alam Flora SDN BHD

Back to list